Malam itu usai solat Isyak aku menghantar SMS kepada Hani.
"Hai awek."
Aku mengusiknya.
"Hui."
"Tengah buat apa tu?"
"Tengah mesej pakwe."
Aku tersentak.
"Oh, orang ada pakwe. Saya ingatkan single lagi.." Balasku kecewa.
Padan muka aku. Cepat sangat gila bayang. Rupa-rupanya Hani sudah berpunya.
"Hihihi tak la. Orang gurau aje. Kecewa ke tu?" Balasnya.
Aduh! Kuat mengusik Hani ni. Teruk aku kena.
"Hahaha kita tak mau la kacau milik orang.."
"Kita memang milik orang. Milik mak abah. "
"Hihi.. Hani dah makan?"
Soalan wajib ku tanya.
"Dah makan sebelum Maghrib tadi. Tapi tak lalu sangat.." Balasnya.
"Kenapa? Lauk tak kena selera?"
"Makanan okay.. Tapi tak lalu makan sebab teringat orang kat sana."
Alamak tuan. 3-0 aku kena malam ni dengan Si Hani.
"Hahaha kuat mengusik ek?"
"Hihihi biar dia rindu kita. Sebelum ni kita depan mata dia buat tak tau aje."
Aduhai Hani. Kalaulah aku tahu dia sweet macam ni, awal-awal lagi aku dah pikat dia.
"Hahaha.. Ala kita ni pemalu orangnya. Takkan la tiba-tiba nak mengorat dia." Balasku.
"Kalau malu melepaslah."
Betul juga kata Hani. Jika aku terus dengan sifat pemalu ku yang tak bertempat, memang banyak peluang yang akan aku terlepas. Mujurlah di hari terakhirnya semalam aku dapat keberanian untuk menegurnya. Kalau tidak, memang menyesal sampai ke sudah. Kata orang biar kita gagal setelah mencuba, jangan gagal sebelum bermula.
"Sekarang boleh ngorat ke?" Usik ku.
"Wekkk"
Alahai Hani. Keletahnya comel macam tuan.
Kami sambung perbualan tentang aktiviti harian masing-masing. Program induksinya berjalan lancar. Cuma katanya penat sedikit kerana setiap aktiviti terikat dengan masa yang ketat. Terkejar-kejar ke sana ke mari bimbang jika terlewat. Pengisian program banyak ke arah taklimat pengenalan tentang organisasi dan tanggungjawab tugasnya nanti.
Hani menyuarakan kebimbangannya kerana dia tiada pengalaman mengajar sebelum ini. Tambahan pula dia antara sebilangan tenaga pengajar yang tiada kelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan pendidikan. Mereka perlu menghadiri Diploma Pendidikan secara separuh masa yang akan diaturkan ketika dalam perkhidmatan nanti.
Aku pun tiada pengetahuan dan pengalaman tentang hal ehwal alam pendidikan. Dunia ku sebelum ini berkisar tentang bidang teknikal dan industri. Apabila memasuki perkhidmatan kerajaan barulah mata ku terbuka melihat cabang-cabang perkhidmatan kerajaan yang lain.
Aku sekadar dapat memberinya kata-kata semangat untuk dia menghadapi cabaran yang mendatang. Aku yakinkan dia bahawa dia layak dan mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Dalam beribu calon yang memohon, dia telah lulus dalam ujian temuduga dan berjaya menjawat jawatan tersebut. Pasti ada kelebihan yang ahli panel temuduga nampak pada dirinya.
Jam menghampiri pukul 11.00 malam. Kami menamatkan perbualan bimbang esok mengantuk ketika bertugas.
"Selamat malam Hani."
"Selamat malam Izz"
Lena tidurku malam itu. Terima kasih Hani kerana sudi menyambut salam perkenalanku. Semoga dibuka jalan untuk hubungan ini dibawa ke tahap yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment