Wednesday, July 27, 2022

10

Pada suatu hari aku menghantar mesej di Facebook untuk berterima kasih kepada Hani. Walaupun sakit luka ditinggalkan, namun tetap ada banyak kenangan manis yang aku lalui bersamanya. Dengan kereta kancilnya aku belajar memandu dari Muar ke Batu Pahat pada hampir setiap hujung minggu. Dia perkenalkan aku dengan perkataan maung pada taugeh sewaktu kami makan nasi ayam di Chicken Rice Shop. Dia juga telah hadiahkan ku sebuah kamus dewan edisi keempat sewaktu dia pergi ke pesta buku antarabangsa di Kuala Lumpur. Kami juga pernah main bowling bersama dan dia ternyata lebih hebat dariku.

Dalam ucapan terima kasih ku, aku nyatakan bahawa aku redha melepaskannya. Aku doakan agar dia bahagia dan berjaya dalam kerjayanya.

Dia akhirnya membalas mesej ku. Dia mengucapkan maaf dan berterima kasih kerana aku melepaskannya dengan baik dahulu.

Setakat itu sahaja mesejnya. Aku cuba juga memujuk andai dia berlembut hati. Namun tiada balasan lanjut daripadanya.

Terima kasih Hani atas kenangan yang kau tinggalkan. Walau sekejap namun semuanya manis bila dikenang.

Namun fitrah manusia ingin hidup berpasangan. Aku tetap berusaha mencari teman hidup yang ingin aku jadikan isteri. Pada awalnya aku mencari paras rupa. Sehinggalah suatu hari terlintas di fikiran tentang kawan baikku. Kawan yang selama ini menjadi tempat aku meluah rasa.

Aku terpempan. Ya Allah, adakah ini adalah jodohku yang selama ini aku mohon dari Mu? Selama ini aku tercari-cari sedangkan Kau telah letakkan dia di hadapan mataku.

Aku mengejar paras rupa sedangkan Kau berikan aku kesempurnaan. Seorang insan yang tabah dan luhur jiwanya. Seorang yang aku hormati sebagai sahabat. Sudi mendengar segala masalah dan luahan ku.

Bodohnya diriku mencari kecantikkan sedangkan kesempurnaan telah Allah berikan di hadapan ku. Benarlah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Kita mohon yang indah, namun Allah beri yang terbaik.

Lama juga aku ambil masa untuk bertenang dan berfikir. Akhirnya suatu hari selepas solat Maghrib aku telah menghantar mesej kepada kawan baikku itu.

Aku nekad bertanya kepadanya, adakah dia sudi berkahwin dengan ku.

Dia membalas bahawa itu adalah soalan berani mati. Namun sesungguhnya dia sudi. Kerana sebenarnya dia memang telah lama menyimpan perasaan kepada ku. Cuma dia pendamkan sahaja kerana dia nampak aku mengejar orang lain.

Semacam ditampar di muka. Alhamdulillah. Telah terbuka jalan untuk kami. Aku memintanya masa untuk bersedia. Dia juga meminta masa dariku untuk sama-sama bersedia. 

Dia juga meletakkan syarat bahawa dia tak mahu bercinta dan tak mahu keluar dating. Cukuplah hubungan kami kekal berkawan seperti biasa. Yang penting masing-masing tahu apa yang di hati.

Allahuakbar. Sekali lagi aku terpempan dengannya. Begitu indah dan luhur peribadinya. Walau di luaran dia nampak agak kasar, namun hatinya murni sekali. Aku bersetuju dengannya dan minta dia menunggu ku.

Inilah janji paling agung yang aku pegang selama bertahun. Walau selepas itu ada beberapa wanita lain pula yang datang mengetuk pintu hatiku, namun aku tetap berpegang pada janji yang telah terikat. 

Sahabatku, kini isteri ku.

Aku mencari yang indah, namun Allah beri yang sempurna. Tiada cinta yang lebih Agung selain cinta Allah.

Hani kekal menjadi memori indah dalam lipatan sejarah.

Benarlah yang indah itu hanya sementara.

Manisnya Hani, semanis gula kapas. Sekejap sahaja ia cair dan hilang. 

9

Hani yang aku kenali adalah seorang yang sweet dan ceria. Tempoh 3 bulan kami bercinta dipenuhi dengan banyak aktiviti yang santai dan gembira. Hampir setiap hujung minggu kami bertemu. Kebanyakan masa kami habiskan dengan menonton wayang dan makan. Banyak juga filem yang kami tonton bersama. Antara judul yang masih aku ingat ialah X-Men Wolverine, Jangan Tegur dan Syurga Cinta. Syurga Cinta adalah filem yang sangat meninggalkan kesan di hatiku. Ia kisah tentang percintaan di dalam batas syariat. Ia menguatkan hatiku untuk menjaga hubungan kami mengikut lunas syariat. Tapi siapa sangka, rupanya Hani ada rancangan sendiri.

Kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata adalah amat menyakitkan. Aku rasa sungguh terhina. Hati ku selalu meneka bahawa Hani ada orang lain. Aku rasa Hani telah bertemu orang lain yang lebih baik. Mungkin orang yang sama gred jawatan dengannya. Mungkin dia rasa kami tak sekufu lagi. Pedihnya hati bila terpaksa meneka-neka tanpa kepastian.

Setelah beberapa lama menanggung seksa sendirian, satu hari aku mengirim mesej kepada seorang kawan baikku di pejabat. Dia adalah bekas rakan sejawat Hani dahulu. Aku selesa berkawan baik dengannya kerana kami sekepala. Kami serasi berkawan dan boleh bercerita banyak perkara. Mungkin kerana latar belakang keluarga yang lebih kurang sama. 

Aku meluahkan perasaan kecewa ku kepadanya. Aku tak sebut nama Hani kerana selama ini aku memang merahsiakan hubungan kami. Namun kawan baik ku itu menyatakan bahawa dia dapat meneka. Dia minta aku bersabar dan anggap itu semua adalah ujian. Dia menenangkan hati ku dengan nasihat dan pesanan. Supaya aku kuat menempuhi hari mendatang.

Perlahan-lahan Hani ku lupakan. Aku mulai berhenti menghantar mesej kepadanya. Aku sedar bahawa sesungguhnya Hani telah nekad. Degil sungguh rupanya Hani. Satu mesej pun tak pernah dia balas.

Akhirnya aku terima kenyataan dan teruskan kehidupan. Aku sibukkan diri dengan kerja dan rakan-rakan. Aku bentuk kumpulan rakan baru di pejabat. Macam-macam aktiviti kami lakukan bersama di waktu lapang. Kami pergi hiking, menonton wayang, main bowling, karaoke dan makan-makan bersama. 

Tak lama selepas itu aku memohon sambung belajar secara separuh masa di Open University. Aku memohon jurusan Pengurusan Teknologi. Aku memang telah lama rancang untuk sambung belajar. Sejak aku kerja kilang selepas tamat diploma dahulu lagi. Aku fikir mungkin inilah waktu yang tepat untuk aku belajar semula. Tanpa gangguan komitmen hubungan cinta.

Di pejabat prestasi kerja ku bertambah baik. Aku telah bertukar ke unit kawalan harga yang mana tugasku adalah untuk memantau harga barang-barang. Aku telah dapat menjalankan tugas baru ku dengan lancar. 

Aku juga telah dipilih menjadi bendahari kelab kebajikan pejabat. Aku bertanggungjawab mengutip yuran bulanan dan menguruskan perbelanjaan kelab. Pelbagai aktiviti kami uruskan seperti majlis perpisahan pegawai, jamuan hari raya dan lain-lain. Aku juga bertanggungjawab menguruskan perbelanjaan barang makanan di pantry pejabat.

Aku gembira dengan pelbagai tanggungjawab baru yang aku terima. Perlahan-lahan bayang Hani hilang dalam hidup ku. Redha dalam kepasrahan. Bukan jodoh kami untuk bersama.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu menceriakan hari-hari ku. Tugas-tugas pejabat yang tak pernah surut. Ditambah pula dengan kelas hujung minggu dan tugasan daripada pensyarah. Tak banyak lagi masa ku yang tersisa untuk memikirkan Hani.

Pergilah Hani. Kejarlah keinginan mu. Sama ada aku bukan terbaik untuk mu. Atau engkau yang sebenarnya bukan terbaik untuk ku.

Selamat tinggal Hani. 

8

Di remang senja aku terlena
Terbuai mimpi tentang setia
Yakin kita sejati
Setia memegang janji
Buih ombak menjadi saksi
Kita berkejaran melakar pelangi

Di akhirnya ia tentang kita, sendiri. 

2 minggu tempoh akhir kursus aku lalui dengan penuh duka lara. Waktu siangnya aku okay sahaja kerana jadual kursus yang padat. Kami dah mula membuat persediaan untuk hari tamat latihan. Ada acara sukan, aktiviti survival di dalam hutan, kerja sukarelawan dan latihan akhir kawad kaki. 

Namun waktu malam menjadi sepi. Tiada lagi mesej-mesej dari Hani. Mesej yang rutin ku hantar setiap pagi dan malam, mengirim ucap selamat kini hanya terbiar sepi. Tiada balasan, seolah-olah benar sungguh Hani mahu berpisah. 

Hari tamat latihan telah pun tiba. Majlis berlangsung dengan meriah. YB Menteri telah turun padang meraikan hari bersejarah kami. Kami dijamu dengan makanan yang enak dan ucapan tahniah sebagai ganjaran tamat latihan. 

Seronok lihat kawan-kawan ada yang disambut keluarga dan isteri. Aku hanya bersendiri. Membalut luka di hati.

Petang itu kami berangkat pulang ke Ibu Pejabat di Putrajaya menaiki bas kementerian. 

Sampai di sana aku tidak terus balik ke Muar, tetapi aku disambut rakanku untuk kami sambung berkursus selama 2 hari di Putrajaya. Aku telah dimaklumkan beberapa hari sebelumnya oleh rakanku bahawa bos minta aku hadir kursus tersebut kerana kebetulan aku akan tiba di sana. Aku sambut arahan tersebut dengan hati terbuka. 

Selepas 2 hari akhirnya aku pulang ke rumah. Sebulan setengah aku pergi berkursus, siapa sangka aku akan pulang dengan hati yang lara. Hani telah pergi tanpa khabar berita. Seolah-olah dia gembira meninggalkan aku. Seolah-olah dia telah terlepas dari derita. Seolah-olah hanya aku yang bodoh dihanyut sang cinta. 

Pedihnya rasa ditinggalkan. Mungkin inilah perasaan yang bekas kekasihku dulu rasakan. Waktu aku minta perpisahan dengan alasan ingin meminta masa bersendirian. Supaya dia dapat berdikari dan berdiri di kaki sendiri. Tidak bergantung harap semata-mata kepada ku. 

Seolah-olah karma itu wujud. Aku menelan kepahitan. Hatiku sakit. Ditinggalkan tanpa pesan, tanpa salam. Seolah diriku menjadi beban kepadanya. 

Kejam. Hani sangat kejam. 


7

"Izz.. Hani nak minta kita jadi kawan biasa je boleh?" 

"Hani nak kita putus? Kenapa?" 

"Hani dah tak ada rasa."

Allahuakbar!

"Kenapa Hani? Kenapa tiba-tiba jadi macam ni? Izz ada buat salah apa-apa ke?"
 
"Tak ada."

"Hani fikirlah masak-masak. Jangan buat keputusan terburu-buru. Kalau Izz ada buat salah Izz minta maaf."

"Hani dah fikir masak-masak. Hani nak undur diri. Hani tak boleh teruskan hubungan ni."

Allahuakbar. Aku bungkam. Tak sangka dalam tempoh sebulan aku tinggalkan Hani untuk berkursus, Hani telah berubah hati. Apa agaknya yang telah buat dia berubah? Adakah dia dah jumpa orang lain yang lebih baik. Atau adakah dia rasa tak sesuai dengan ku kerana gred jawatan kami yang jauh berbeza. 

Berkali-kali aku bertanya tentang punca dia berubah hati. Namun jawapannya tetap sama. Dia dah tak ada rasa. Dah tak ada rasa cinta. Semudah itu dia tuturkan. Seolah-olah cintanya selama ini hanya dusta. Aku terpempan. Tak ku sangka perpisahan akan terjadi secepat ini. Hubungan kami baru menginjak tempoh 3 bulan. 

Setelah berkali-kali ku pujuk supaya Hani ubah kembali keputusannya, akhirnya aku pasrah. Atas dasar sayang dan hormat, aku terima. Aku lepaskan Hani dalam terpaksa. Aku terkilan dalam tempoh sebulan kami tak bertemu, tiba-tiba dia buat keputusan begini. Aku masih ada tempoh 2 minggu kursus yang perlu aku tempuh. 2 minggu yang sangat panjang dan menyakitkan. 

Aku terluka. Luka yang terlalu bisa namun tak berdarah. 

"Sampai hati Hani."

6

Indahnya dunia bercinta. Setiap masa berhubungan. Semua cerita dikongsi bersama. Setiap gerak-geri dilaporkan. Sehari terasa sangat lambat berlalu. Menghitung waktu dapat bertemu. Begitulah hubungan ku bersama Hani.

Ada sahaja cerita yang kami kongsikan. Berkongsi jenaka, berkongsi lagu. Hampir setiap hujung minggu kami bertemu apabila dia pulang ke kampung. 

Tempat dating rasmi kami adalah di Batu Pahat. Tujuannya supaya tak terserempak dengan kawan-kawan dan keluarga di Muar. Maka bermusafirlah kami di hampir setiap hujung minggu.

Kereta kancilnya pula menjadi kenderaan rasmi. Aku yang waktu itu baru sahaja memiliki lesen kereta, mengambil kesempatan belajar memandu dengan keretanya. Teruknya aku sekali pun tak pernah membayar duit minyak keretanya. Kerana setiap kali kami keluar, minyak keretanya sentiasa penuh. Mungkin dia telah isi dahulu sebelum mengambilku di rumah sewa.

Namun, belanja makan dan menonton wayang aku yang membayar. Jadi aku fikir tak mengapalah. Malah Hani juga tak pernah kata apa-apa tentang itu.

Menariknya bersama Hani, aku boleh bercerita apa-apa sahaja. Kerana ternyata dia seorang yang pintar dan banyak pengalaman berjalan ke tempat orang.

Dia juga seorang yang mesra dan ceria. Ada sahaja cerita dan jenaka yang buat kami gelak ketawa bersama. 

Sepanjang tempoh bercinta dengannya, aku memang sentiasa ceria dan berbunga-bunga di dalam hati. 

Namun, rupa-rupanya benarlah kata pepatah, ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. 

Semuanya terjadi apabila aku dihantar berkursus di Jerantut, Pahang selama sebulan setengah. 

Rupanya tempoh dan jarak yang  berjauhan turut menjauhkan hati kami. 

Monday, April 26, 2021

5

Diam tak diam dah sebulan aku berhubungan dengan Hani. Hubungan yang bermula dengan teguran di hari terakhir dia bertugas, kini telah semakin mekar berkembang. Saban hari kami berhubung melalui SMS untuk bertanya khabar dan berbual tentang aktiviti harian masing-masing. Banyak yang kami bualkan dalam fasa mengenali diri dan latar belakang masing-masing. Jujur hatiku berbunga setiap kali terkenangkan Hani. Aku menaruh harapan agar hubungan kami dapat dibawa ke jinjang pelamin. Ku harap dia juga merasa perasaan yang sama. 

Hani kini telah jauh di mata. Selepas tamat induksi dahulu, Hani telah ditempatkan untuk mengajar di sebuah kolej kemahiran di Melaka. Dia mengajar mata pelajaran Pengajian Am kepada pelajar peringkat diploma. Sesuailah dengan kelulusannya sebagai graduan Pengajian Sejarah dari UKM. Diawalnya dia sering menyatakan kebimbangan kerana tiada pengalaman dan asas mengajar. Namun aku memberinya semangat bahawasanya dia layak dan pasti boleh menggalas tanggungjawab yang diberi. Jika tidak, masakan dia terpilih antara ribuan calon yang memohon. 

Di Melaka dia tinggal menyewa berhampiran kolej bersama dua orang rakan pensyarah yang sama-sama melapor diri. Seorang bernama Liyana berasal dari Kajang, Selangor manakala seorang lagi bernama Azimah dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Daripada apa yang dia ceritakan kelihatannya mereka bertiga serasi tinggal bersama. Mungkin kerana sama-sama baru bertugas memudahkan mereka untuk saling memahami. 

Daripada pengalamanku hidup di rumah sewa bujang selama 6 tahun sebelum ini, bukan mudah untuk serasi dengan kawan-kawan serumah jika tidak mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur. Pasti ada sahaja ragam dan karenah yang menyesakkan dada. Almaklumlah, sebelum ini tinggal bersama keluarga semua dah tersedia, apabila tinggal di rumah sewa semua perlu dibuat sendiri. 

Ragam seperti merendam baju di bilik air berhari-hari dan membiarkan pinggan mangkuk tak dicuci di dalam sinki pasti membuat rakan serumah yang lain pening kepala. Ada juga jenis yang tidak boleh berkongsi. Alatan miliknya semua disimpan di dalam bilik. Malah ada rakan serumah sewaku yang pernah memasak di dalam bilik dek kerana tak mahu berkongsi dengan rakan yang lain. Jenis ini terlalu ekstrem.

Namun kami tak pernah bergaduh kerana hal-hal remeh seperti ini. Mungkin kerana sikap toleransi lelaki memang tinggi. Lain halnya dengan perempuan. Aku pernah mendengar luahan rakan perempuan sekuliahku tentang ragam di rumah sewanya. Segala peraturan ditulis di atas kertas dan ditampal serata-rata sudut rumah. Ada juga yang berkira soal barang dapur dan hal masak-memasak. Soal emosi jangan cerita, ada sahaja konflik dan masalah sesama mereka dek kerana mulut lepas. Begitulah orang perempuan. 

Hujung minggu ini Hani maklumkan dia akan pulang ke kampung. Kami telah berjanji untuk keluar makan malam bersama untuk pertama kalinya. Tak sabar rasanya menunggu hujung minggu tiba.

Saturday, August 8, 2020

3

Seperti biasa bila lewat petang tugasan di pejabat dah mulai reda dan rata-rata semua pegawai bersiap-siap untuk pulang. Aku mengambil kesempatan untuk menghantar SMS kepada Hani.

"Hai Hani. Macam mana hari ni? Semua okay?"

Telefonku bergetar. Cepat balasan Hani. Mungkin dia juga sedang bersiap untuk pulang.

"Hai Izz. Alhamdulillah semua okay. Minggu pertama ni kena ikut program induksi sampai hari Jumaat. Habis induksi nanti baru tahu posting kat mana."

"Oh, saya ingatkan lapor diri sehari je." Balas ku.

"Tak Izz. Dalam surat panggilan hari tu memang dia dah maklumkan akan ada program induksi."

"I see. Nasib baik dia dah maklumkan awal. Kalau mengejut tiba-tiba kena induksi seminggu teruk juga."

"Hahaha pengsan kalau macam tu. Nak kena balik kampung ambil baju."

"Hihi. Hani tidur mana kat sana?"

"Dia sediakan penginapan kat asrama pelajar UM. Induksi pun dia buat kat sini."

"Oh, okay la gitu. Senang. Sambung nanti ya. Saya nak gerak balik."

"Hehe okay Izz. Hati-hati bawa motor tu. Jangan laju-laju."

"Yes Madam"

"Hei, Miss lah"

Hani membalas usikkan ku. Terbayang wajah comelnya menguntum senyuman.

Tak sangka rupa-rupanya Hani kena mengikuti program induksi seminggu di Kuala Lumpur. Aku fikir lepas selesai lapor diri akan terus dapat penempatan macam masa aku dahulu. Mungkin lain jabatan lain caranya. Tambahan pula jawatannya sebagai tenaga pengajar mungkin memerlukan suatu latihan yang khusus untuk memastikan mereka bersedia secukupnya sebelum mengajar.

Aku dahulu selepas selesai lapor diri di Ibu Pejabat terus dapat keputusan penempatan. Alhamdulillah mungkin sudah tertulis rezeki ku, aku ditempatkan di pejabat cawangan yang berhampiran dengan kampung halaman. Seminggu sekali atau jika ada apa-apa hal aku akan pulang ke kampung menjenguk emak dan abah.

Berbanding dahulu sewaktu aku belajar dan bekerja di Kedah, dalam setahun hanya tiga atau empat kali aku pulang ke kampung. Hampir enam tahun aku merantau di sana. Sesekali dapat pulang bercuti memang aku pulun cuti puas-puas. Alhamdulillah, sesungguhnya aturan Allah adalah yang terbaik. Hari ini aku dapat bekerja dan tinggal dekat dengan keluarga. 

Habis kerja petang itu aku terus menunggang motor balik ke rumah sewa. Petang ini aku bercadang nak basuh motor dan sapu daun-daun kering di halaman rumah. Setiap petang Selasa inilah aktiviti rutinku di rumah sewa jika tiada kerja lebih masa.

Malam nanti aku nak sambung SMS Hani. Apa agaknya dia tengah buat sekarang. Aku ni sedang dilamun cintakah? Haish. Hani tak apa-apa aku pula yang gila bayang. Bahaya kalau diteruskan macam ni. Tak jadi kerja sebab asyik teringatkan dia.