Saturday, August 8, 2020

3

Seperti biasa bila lewat petang tugasan di pejabat dah mulai reda dan rata-rata semua pegawai bersiap-siap untuk pulang. Aku mengambil kesempatan untuk menghantar SMS kepada Hani.

"Hai Hani. Macam mana hari ni? Semua okay?"

Telefonku bergetar. Cepat balasan Hani. Mungkin dia juga sedang bersiap untuk pulang.

"Hai Izz. Alhamdulillah semua okay. Minggu pertama ni kena ikut program induksi sampai hari Jumaat. Habis induksi nanti baru tahu posting kat mana."

"Oh, saya ingatkan lapor diri sehari je." Balas ku.

"Tak Izz. Dalam surat panggilan hari tu memang dia dah maklumkan akan ada program induksi."

"I see. Nasib baik dia dah maklumkan awal. Kalau mengejut tiba-tiba kena induksi seminggu teruk juga."

"Hahaha pengsan kalau macam tu. Nak kena balik kampung ambil baju."

"Hihi. Hani tidur mana kat sana?"

"Dia sediakan penginapan kat asrama pelajar UM. Induksi pun dia buat kat sini."

"Oh, okay la gitu. Senang. Sambung nanti ya. Saya nak gerak balik."

"Hehe okay Izz. Hati-hati bawa motor tu. Jangan laju-laju."

"Yes Madam"

"Hei, Miss lah"

Hani membalas usikkan ku. Terbayang wajah comelnya menguntum senyuman.

Tak sangka rupa-rupanya Hani kena mengikuti program induksi seminggu di Kuala Lumpur. Aku fikir lepas selesai lapor diri akan terus dapat penempatan macam masa aku dahulu. Mungkin lain jabatan lain caranya. Tambahan pula jawatannya sebagai tenaga pengajar mungkin memerlukan suatu latihan yang khusus untuk memastikan mereka bersedia secukupnya sebelum mengajar.

Aku dahulu selepas selesai lapor diri di Ibu Pejabat terus dapat keputusan penempatan. Alhamdulillah mungkin sudah tertulis rezeki ku, aku ditempatkan di pejabat cawangan yang berhampiran dengan kampung halaman. Seminggu sekali atau jika ada apa-apa hal aku akan pulang ke kampung menjenguk emak dan abah.

Berbanding dahulu sewaktu aku belajar dan bekerja di Kedah, dalam setahun hanya tiga atau empat kali aku pulang ke kampung. Hampir enam tahun aku merantau di sana. Sesekali dapat pulang bercuti memang aku pulun cuti puas-puas. Alhamdulillah, sesungguhnya aturan Allah adalah yang terbaik. Hari ini aku dapat bekerja dan tinggal dekat dengan keluarga. 

Habis kerja petang itu aku terus menunggang motor balik ke rumah sewa. Petang ini aku bercadang nak basuh motor dan sapu daun-daun kering di halaman rumah. Setiap petang Selasa inilah aktiviti rutinku di rumah sewa jika tiada kerja lebih masa.

Malam nanti aku nak sambung SMS Hani. Apa agaknya dia tengah buat sekarang. Aku ni sedang dilamun cintakah? Haish. Hani tak apa-apa aku pula yang gila bayang. Bahaya kalau diteruskan macam ni. Tak jadi kerja sebab asyik teringatkan dia.

4

Malam itu usai solat Isyak aku menghantar SMS kepada Hani.

"Hai awek."

Aku mengusiknya.

"Hui."

"Tengah buat apa tu?"

"Tengah mesej pakwe."

Aku tersentak.

"Oh, orang ada pakwe. Saya ingatkan single lagi.." Balasku kecewa.

Padan muka aku. Cepat sangat gila bayang. Rupa-rupanya Hani sudah berpunya.

"Hihihi tak la. Orang gurau aje. Kecewa ke tu?" Balasnya.

Aduh! Kuat mengusik Hani ni. Teruk aku kena.

"Hahaha kita tak mau la kacau milik orang.."

"Kita memang milik orang. Milik mak abah. " 

"Hihi.. Hani dah makan?"

Soalan wajib ku tanya.

"Dah makan sebelum Maghrib tadi. Tapi tak lalu sangat.." Balasnya.

"Kenapa? Lauk tak kena selera?"

"Makanan okay.. Tapi tak lalu makan sebab teringat orang kat sana."

Alamak tuan. 3-0 aku kena malam ni dengan Si Hani.

"Hahaha kuat mengusik ek?"

"Hihihi biar dia rindu kita. Sebelum ni kita depan mata dia buat tak tau aje."

Aduhai Hani. Kalaulah aku tahu dia sweet macam ni, awal-awal lagi aku dah pikat dia.

"Hahaha.. Ala kita ni pemalu orangnya. Takkan la tiba-tiba nak mengorat dia." Balasku.

"Kalau malu melepaslah."

Betul juga kata Hani. Jika aku terus dengan sifat pemalu ku yang tak bertempat, memang banyak peluang yang akan aku terlepas. Mujurlah di hari terakhirnya semalam aku dapat keberanian untuk menegurnya. Kalau tidak, memang menyesal sampai ke sudah. Kata orang biar kita gagal setelah mencuba, jangan gagal sebelum bermula.

"Sekarang boleh ngorat ke?" Usik ku.

"Wekkk" 

Alahai Hani. Keletahnya comel macam tuan.

Kami sambung perbualan tentang aktiviti harian masing-masing. Program induksinya berjalan lancar. Cuma katanya penat sedikit kerana setiap aktiviti terikat dengan masa yang ketat. Terkejar-kejar ke sana ke mari bimbang jika terlewat. Pengisian program banyak ke arah taklimat pengenalan tentang organisasi dan tanggungjawab tugasnya nanti.

Hani menyuarakan kebimbangannya kerana dia tiada pengalaman mengajar sebelum ini. Tambahan pula dia antara sebilangan tenaga pengajar yang tiada kelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan pendidikan. Mereka perlu menghadiri Diploma Pendidikan secara separuh masa yang akan diaturkan ketika dalam perkhidmatan nanti.

Aku pun tiada pengetahuan dan pengalaman tentang hal ehwal alam pendidikan. Dunia ku sebelum ini berkisar tentang bidang teknikal dan industri. Apabila memasuki perkhidmatan kerajaan barulah mata ku terbuka melihat cabang-cabang perkhidmatan kerajaan yang lain.

Aku sekadar dapat memberinya kata-kata semangat untuk dia menghadapi cabaran yang mendatang. Aku yakinkan dia bahawa dia layak dan mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Dalam beribu calon yang memohon, dia telah lulus dalam ujian temuduga dan berjaya menjawat jawatan tersebut. Pasti ada kelebihan yang ahli panel temuduga nampak pada dirinya.

Jam menghampiri pukul 11.00 malam. Kami menamatkan perbualan bimbang esok mengantuk ketika bertugas.

"Selamat malam Hani."

"Selamat malam Izz"

Lena tidurku malam itu. Terima kasih Hani kerana sudi menyambut salam perkenalanku. Semoga dibuka jalan untuk hubungan ini dibawa ke tahap yang lebih baik. 

2

Hatiku berbunga-bunga sejak perkenalan singkat dengan Hani. Sepanjang jalan pulang ke rumah sewa bibirku tak henti menguntum senyum. Terasa ada sinar harapan untuk aku mengenali Hani dengan lebih rapat.

Sebenarnya sudah hampir setahun aku tiada perasaan begini terhadap wanita sejak aku putuskan hubungan dengan bekas kekasihku dahulu. Entah betul atau tidak keputusan yang aku ambil waktu itu aku pun tak tahu. Apa yang pasti aku mahu bekas kekasihku itu belajar berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri. Aku tidak mahu dia terlalu bergantung harap kepadaku sehingga merencatkan potensi dirinya untuk membina kerjaya. Kami berpisah secara baik pada hemat ku. Aku memohon maaf dan katakan padanya bahawa biarlah takdir yang menentukan ke mana arah hubungan kami. Andai memang ada jodoh pasti tak akan ke mana. Suatu hari nanti akan bertaut semula.

Namun hakikatnya, sejak kami putus cinta aku memang membawa diriku jauh darinya. Kebetulan tak lama selepas itu aku mendapat panggilan kerja kerajaan dan menyebabkan aku berpindah ke negeri kelahiranku. Seharian aku sibukkan diriku dengan kerja pejabat dan aktiviti rekreasi semata-mata kerana tidak mahu melayan perasaan rindu kepadanya. Aku akui tindakanku kejam terhadap bekas kekasihku. Namun demi kebaikan bersama aku rasakan perlu aku ambil keputusan itu.

Malam itu, seusai pulang dari menunaikan solat Isyak berjemaah di surau, aku duduk di sofa mengenang Hani. Hatiku meronta ingin menghubunginya. Waktu itu, aplikasi Whatsapp belum wujud seperti sekarang. Medium komunikasi waktu itu adalah menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas atau singkatannya SMS. Aku menimbang-nimbang adakah patut aku hantar SMS kepadanya.

Perasaanku berperang dengan fikiran. Perasaan meronta-ronta, namun fikiran kata nanti dulu. Tidak mahu nanti Hani bersangka yang bukan-bukan terhadapku. Nampak seperti aku ni gelojoh sangat.

Malam itu aku tidur dengan perasaan yang meronta ingin menghubungi Hani. Teruk juga penangan Si Manis Hani. Tak senang duduk aku dibuatnya. Umpama mandi tak basah, tidur tak lena.

Bangun pagi esoknya, perasaan itu masih tak juga hilang. Sebelum bergerak ke pejabat aku beranikan diri hantar SMS kepadanya. Itu pun kerana mengenangkan dia akan lapor diri di tempat kerja baru hari ini. Jadi ada alasan untuk aku menghubunginya memberi ucap selamat.

"Salam. Semoga dipermudahkan urusan Hani di tempat baru hari ini."

Selesai menekan butang hantar di telefon, aku terus bergerak ke pejabat.

Terasa telefonku bergetar di poket seluar. Wah, adakah Hani membalas SMS ku! Tak sabar rasanya nak tiba ke pejabat.

Tiba di parkir motosikal, aku terus memeriksa telefon. Memang benar ada balasan SMS dari Hani.

"Wslm. Terima kasih Izz. Tengah nervous ni."

Ringkas balasannya. Namun Hani telah membuang gelaran Encik di pangkal nama ku. Ah, sudah! Apakah dia juga rasa apa yang aku rasa waktu ini. Berdebar rasa hati.

Aku balas SMS-nya dengan pesanan supaya dia perbanyakkan membaca selawat. Semoga dia tenang dan dipermudah urusan di sana.

Tiada balasan seterusnya dari Hani. Mungkin dia dah mulai sibuk. Mujurlah aku juga agak sibuk hari ini. Aku perlu keluar melakukan tugasan di lapangan. Mungkin lewat petang baru aku akan tiba semula ke pejabat. Tidaklah aku akan terkenang Hani sangat. 

1

Menghampiri jam 5 petang, aku duduk santai di meja menunggu waktu pulang. Melintas Hani, seorang pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan hari ini. Dia telah menerima tawaran kerja sebagai tenaga pengajar di sebuah institusi latihan. Tengahari tadi kami telah mengadakan majlis farewell untuknya.

Selama ini aku hanya mengenalinya dari jauh, tidak pernah bertegur sapa dengannya hatta tentang perihal kerja kerana department kami yang berlainan. Waktu pertama kali bertemu dalam satu mesyuarat di pejabat, aku telah tertarik dengan personalitinya yang nampak elegan. Wajahnya putih gebu, berkaca mata dan manis sekali bila menguntum senyum. Comel. Sejak itu aku sering menyoroti pergerakannya dalam diam.

"Hani!" Aku nekad menggamitnya.

"Ya, Encik Izz." Jawabnya sambil tersenyum manis.

"Hari ni awak last day kan?"

"Ya. Esok dah nak lapor diri kat sana."

"All the best untuk awak kat tempat baru. Belum sempat nak berkenalan, awak dah nak pergi."

"Terima kasih. Itulah, tak sempat nak berkenalan. Encik Izz lah kerja kuat sangat. Kalau kita lalu depan bilik dia, fokus macam nak dimakan monitor komputer tu. Tak apa, lepas ni kalau jumpa kat luar, tegur-tegurlah." Balasnya ramah.

Aduhai, rupanya selama ni dia juga memerhatikan aku.

"Boleh saya minta nombor telefon Hani? Boleh kita berkenalan lepas ni."

"Boleh. Kosong satu tiga, enam dua satu, tiga empat lima enam". 

"Nombor telefon Encik Izz apa?" Polos dia meminta. 

"Kosong satu tujuh, empat tujuh empat, lima tiga enam tujuh."

Kami saling bertukar nombor telefon.

"Ada harapan!" Detik hatiku. 

Tak ku sangka Hani yang selama ini ku lihat seperti sukar untuk didekati rupa-rupanya seorang yang peramah. Rasa rugi sungguh tak menegurnya lebih awal sebelum ini.

Kami berbual mesra lebih kurang 10 minit berkisar tentang latar belakang masing-masing dan perihal kerja barunya nanti. Aku memberi kata-kata perangsang untuk dia memulakan tugas di sana.

"Nanti keep in touch ya. Jangan lupakan kami kat sini."

"Hish, tak lupa. Banyak kenangan manis kat sini." Jawabnya mesra lantas menamatkan perkenalan singkat kami pada petang itu.

Masa seakan terhenti di saat aku melihat dia pergi. Selepas ini sudah tiada lagi kelibatnya di pejabat. Hani pergi bersama hatiku.

Manis senyum mu Hani. Macam gula kapas!