Saturday, August 8, 2020

2

Hatiku berbunga-bunga sejak perkenalan singkat dengan Hani. Sepanjang jalan pulang ke rumah sewa bibirku tak henti menguntum senyum. Terasa ada sinar harapan untuk aku mengenali Hani dengan lebih rapat.

Sebenarnya sudah hampir setahun aku tiada perasaan begini terhadap wanita sejak aku putuskan hubungan dengan bekas kekasihku dahulu. Entah betul atau tidak keputusan yang aku ambil waktu itu aku pun tak tahu. Apa yang pasti aku mahu bekas kekasihku itu belajar berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri. Aku tidak mahu dia terlalu bergantung harap kepadaku sehingga merencatkan potensi dirinya untuk membina kerjaya. Kami berpisah secara baik pada hemat ku. Aku memohon maaf dan katakan padanya bahawa biarlah takdir yang menentukan ke mana arah hubungan kami. Andai memang ada jodoh pasti tak akan ke mana. Suatu hari nanti akan bertaut semula.

Namun hakikatnya, sejak kami putus cinta aku memang membawa diriku jauh darinya. Kebetulan tak lama selepas itu aku mendapat panggilan kerja kerajaan dan menyebabkan aku berpindah ke negeri kelahiranku. Seharian aku sibukkan diriku dengan kerja pejabat dan aktiviti rekreasi semata-mata kerana tidak mahu melayan perasaan rindu kepadanya. Aku akui tindakanku kejam terhadap bekas kekasihku. Namun demi kebaikan bersama aku rasakan perlu aku ambil keputusan itu.

Malam itu, seusai pulang dari menunaikan solat Isyak berjemaah di surau, aku duduk di sofa mengenang Hani. Hatiku meronta ingin menghubunginya. Waktu itu, aplikasi Whatsapp belum wujud seperti sekarang. Medium komunikasi waktu itu adalah menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas atau singkatannya SMS. Aku menimbang-nimbang adakah patut aku hantar SMS kepadanya.

Perasaanku berperang dengan fikiran. Perasaan meronta-ronta, namun fikiran kata nanti dulu. Tidak mahu nanti Hani bersangka yang bukan-bukan terhadapku. Nampak seperti aku ni gelojoh sangat.

Malam itu aku tidur dengan perasaan yang meronta ingin menghubungi Hani. Teruk juga penangan Si Manis Hani. Tak senang duduk aku dibuatnya. Umpama mandi tak basah, tidur tak lena.

Bangun pagi esoknya, perasaan itu masih tak juga hilang. Sebelum bergerak ke pejabat aku beranikan diri hantar SMS kepadanya. Itu pun kerana mengenangkan dia akan lapor diri di tempat kerja baru hari ini. Jadi ada alasan untuk aku menghubunginya memberi ucap selamat.

"Salam. Semoga dipermudahkan urusan Hani di tempat baru hari ini."

Selesai menekan butang hantar di telefon, aku terus bergerak ke pejabat.

Terasa telefonku bergetar di poket seluar. Wah, adakah Hani membalas SMS ku! Tak sabar rasanya nak tiba ke pejabat.

Tiba di parkir motosikal, aku terus memeriksa telefon. Memang benar ada balasan SMS dari Hani.

"Wslm. Terima kasih Izz. Tengah nervous ni."

Ringkas balasannya. Namun Hani telah membuang gelaran Encik di pangkal nama ku. Ah, sudah! Apakah dia juga rasa apa yang aku rasa waktu ini. Berdebar rasa hati.

Aku balas SMS-nya dengan pesanan supaya dia perbanyakkan membaca selawat. Semoga dia tenang dan dipermudah urusan di sana.

Tiada balasan seterusnya dari Hani. Mungkin dia dah mulai sibuk. Mujurlah aku juga agak sibuk hari ini. Aku perlu keluar melakukan tugasan di lapangan. Mungkin lewat petang baru aku akan tiba semula ke pejabat. Tidaklah aku akan terkenang Hani sangat. 

No comments:

Post a Comment